Sering bawa watak bapa, pelakon veteran Idris Md Diah meninggal dunia


Industri seni kehilangan seorang lagi pelakon yang cukuo disegani, Idris Md Diah yang dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Putrajaya pada Isnin.
Berita duka itu dikongsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi satu posting di laman Facebook rasminya sebentar tadi.
“FINAS dengan rasa sedih dan dukacita ingin mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga pelakon veteran berkaliber dan penggiat seni yang dihormati.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan beriman. Al-Fatihah,” tulis kenyataan tersebut.
Memetik laporan Kosmo! Online pula, pemergian pelakon berusia 61 tahun itu disahkan oleh anak saudara arwah, Nurul Nabihah Mod. Rizal.
“Benar bapa saudara saya meninggal dunia awal pagi tadi di kediamannya di Presint 9, Putrajaya. Saya diberitahu tentang perkara tersebut pada pukul 3 pagi tadi,” kata Nabihah.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut dikongsi mengenai punca pelakon yang terkenal dengan watak Pak Andak menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 itu meninggal dunia.
Jenazah dibawa ke Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong sebelum solat Zuhur.