Kemajuan negara hanya bermakna jika rakyat dapat manfaat
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia berdepan cabaran besar untuk terus dibangunkan bagi menjadi negara maju, yang hasilnya kemajuannya dapat dinikmati seluruh rakyat.
Perdana Menteri berkata, kemajuan dimaksudkannya bukan hanya pertumbuhan ekonomi, indeks bursa saham, jumlah pelaburan langsung asing dan domestik, tetapi sumber pendapatan dan kualiti hidup rakyat.
"Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila saudara-saudari mempunyai sumber pendapatan mencukupi, kediaman selesa, pendidikan sempurna, kesihatan baik, alam sekitar lestari dan keselamatan sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera.
"Saya tahu, tidak semua rakyat di negara ini bernasib baik. Ada yang terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga," katanya ketika Perutusan Khas Hari Kebangsaan Ke-63 di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengakui, ramai dalam kalangan rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk meneruskan kehidupan, sekiranya terputus mata pencarian.
Beliau berkata, mungkin ada sebahagian daripada rakyat mampu bertahan selama satu atau dua bulan, tetapi terpaksa berhutang dan bergolok bergadai untuk hidup, jika situasi itu berlarutan.
"Saya sedar tentang perkara ini. Kerana itu, ketika wabak COVID-19 mula melanda negara dan sektor ekonomi ditutup, perkara pertama dilakukan kerajaan ialah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.
"Kita sediakan Bantuan Prihatin Nasional, morotarium bayaran pinjaman bank, bantuan kemudahan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah dan lain-lain bentuk bantuan berjumlah RM260 bilion, keseluruhannya untuk meringankan beban ditanggung rakyat.
"Alhamdulillah, pelbagai bantuan disediakan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat di waktu susah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh merangkap Pengerusi Perikatan Nasional.